Banyak benda baharu telah aku buat
dalam 6 bulan pertama 2017. Jadi cleaner, promoter, volunteer acara larian, dan
juga lari Full Marathon.
Standard Chartered KL Marathon(SCKLM)
adalah antara beberapa acara larian yang
dianjurkan di tengah bandar Kuala Lumpur. Banyak acara larian di sekitar KL,
tetapi tak banyak menganjurkan Full Marathon.
SCKLM 2017 merupakan edisi yang ke
9, dan aku rasa banyak memori pahit manis sepanjang larian kali ini.
Pendaftaran
Pendaftaran bagi larian ini telah
dibuka pada sekitar bulan Januari. Acara larian pula dianjurkan pada bulan 5.
Menjadi sesuatu kebiasaan pendaftaran bagi acara larian yang berprestij dibuka
beberapa bulan lebih awal. Antara contoh yang lain, pendaftaran bagi Penang
Bridge International Marathon dibuka seawal bulan 5.
Slot pendaftaran pula agak terhad.
Hanya 4 hari pendaftaran dibuka sebelum ditutup. Acara 5KM merupakan acara yang
paling cepat ditutup pendaftarannya, diikuti !0KM, 21KM dan 42KM. Nasib baik
sempat daftar.
Persiapan
Dari segi training, agak sederhana.
Rasanya sebelum larian, banyak lari di tasik Shah Alam hampir setiap hari dalam
7-10KM. Mungkin aku hanya fokus dalam frekuensi, tetapi bukan intensity dan
jarak.
Tambahan pula, sekitar Januari
hingga Mei, aku tak sertai sangat acara larian di Shah Alam, kecuali Larian
Kitar Semula. Rekod larian terjauh yang direkodkan ialah 16KM, dari Seksyen 6
ke Seksyen 18.
Hari Larian
Disebabkan aku dari Shah Alam, maka
aku kena gerak awal ke Kuala Lumpur. Sekitar pukul 7, aku sudah bergerak ke
PKNS Shah Alam, solat dan menaiki bas RapidKL ke Pasar Seni.
Dari Pasar Seni pula, aku menaiki
bas GOKL ke Bukit BIntang, dan berjalan ke Pavilion. Berbekalkan tiket wayang
percuma 4 keping, aku tengok cerita The Circle dan Shockwave dengan kawan. Niat
nak tidur dalam panggung wayang, tetapi terbantut sebab cerita itu best. Badan
agak kurang rehat sebenarnya.
Selepas tengok wayang, terus aku bergerak
ke Padang Merdeka. Aku terus menyimpan beg di luggage station, dan makan
sandwich daging ayam black pepper mask sendiri 3 keping, air Lucozade setin,
air isotonik dalam 300ml, air kopi 500ml dan sedikit air masak. Semua sekali
ditelan 40 minit sebelum larian bermula.
Acara bermula 4 pagi bagi kategori
Full Marathon.
Untuk 20KM pertama, pace larian aku
amat bagus( bagi aku lah). Aku dapat solat Subuh di Checkpoint KM19 pada pukul
5.40, menunjukkan pace larian bagi 19KM pertama bawah 6minit/KM. Bagi seseorang
yang training tak cukup, aku rasa itu agak ok.
Segalanya indah sehinggalah KM24.
Kaki aku sudah mula rasa sakit,
lagi-lagi di bahagian lutut. Mungkin muscle cramp. Pada mulanya sakit itu aku
rasa pada KM17, tetapi ketika itu aku tahan dan hanya sekali mengambil semburan
painkiller.
Lama-kelamaan sakit itu berlarutan.
Pada mulanya aku ambil semburan painkiller setiap 2 Checkpoint sekali. Bila dah
tak tahan sangat, setiap checkpoint yang ada sediakan semburan painkiller, aku
guna untuk kurangkan rasa sakit yang mencucuk-cucuk di lutut dan betis macam
paku yang ditusuk jauh ke dalam daging. Oh ya, checkpoint tersedia pada KM 4
dan satu checkpoint bagi setiap 1.6KM seterusnya.
Di checkpoint, kebiasanya ada air
mineral, medik(rasanya 2 checkpoint satu pasukan medik) dan air Lucozade( 2
checkpoint sekali). Sesekali ada pisang. Ada juga seperti power gel, disediakan
2 kali sepanjang larian.
KM 39 merupakan kemuncak rasa sakit
yang aku tanggung. Masa itu, aku rasa dan guling sahaja menuruni bukit, sebab
kaki sudah tak boleh jalan. Masa itu aku sedar, timing aku sudah lari lebih 5
jam. Tapi aku tak kisah. Yang penting, larian kena habiskan.
500m terakhir, aku cabut kasut joging,
sebab masa itu kaki dah melecet dan tak selesa. Akhirnya aku Berjaya juga
tamatkan larian berkaki ayam dengan timing 5 jam 2 minit.
Post-mortem
Pada pendapat aku, aku tak cukup
training. Kerana itulah aku cepat mengalami kecederaan.
Antara improvement yang aku rasa
aku boleh lakukan pada masa depan:
1. Cuba latihan LSD(Long Slow
Distance). Sekurang-kurangnya kena pernah lari 75% daripada jarak larian pada
hari sebenar.
2. Pakai seluar dalam pakai buang.
Sedikit sebanyak mengurangkan melecet di celah peha.
3. Cross-training
Walau bagaimanapun, aku perasan
sekitar 20KM pertama, aku berlari agak selesa. Tiada rasa sakit di dada. Mungkin ada beberapa teknik yang aku amalkan
berkesan:
1. Minum air kopi
2. Minum air isotonik
3. Makan protein sebelum
lari(daging ayam)
4. Tidur cukup.
5. HIIT(High-Intensity Interval
Training)
Aku rindu SCKLM. Aku rindu suasana,
geng-geng buskers tepi jalan, pom pom girl, orang asing yang motivate aku suruh
habiskan larian. Semuanya.
Jumpa lagi tahun depan!